- Utama
- Pengguna
- Awam
- Siaran Media
- SIARAN MEDIA - PERSEMBAHAN MEMUKAU DALAM KONSERT #INIBARUBINTANG 2
Siaran Media
SIARAN MEDIA - PERSEMBAHAN MEMUKAU DALAM KONSERT #INIBARUBINTANG 2
PERSEMBAHAN MEMUKAU DALAM KONSERT #INIBARUBINTANG 2
KUALA LUMPUR, 14 September 2023 – Persembahan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah dalam Konsert #INIBARUBINTANG 2 berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri baru-baru ini berjaya memukau penonton yang hadir. Ia umpama hadiah kepada penonton setia yang tidak puas menyaksikan kemunculan Raja Pop pada Konsert #INIBARUBINTANG sebelum ini yang hanya menyampaikan lagu “Aku Penghibur”.
Kali ini Datuk Jamal Abdillah nyata menguasai pentas dan menerima tepukan gemuruh peminat dengan nyanyian solonya yang bertenaga dan menghiburkan menerusi lagu medley “Penghujung Rindu” dan “Kekasih Awal dan Akhir” juga lagu populars “Gadis Melayu”.
Sepanjang konsert dua jam terbitan Unit Hiburan TV RTM ini, penonton turut berhibur dengan 19 buah lagu daripada bintang-bintang kelahiran RTM termasuklah Salamiah Hassan, Misha Omar, Datuk Andre Goh, Azharina Azhar, Ernie Zakri, Najib Hanif, Aqasha, Ezad Lazim, Dewi Sariestha, Eylia Guntabid dan Syahz Mohamad.
Memulakan persembahan jam 9.00 malam, konsert yang disiarkan secara langsung di TV2 ini menampilkan gandingan hos Awal Ashaari yang juga Pengacara Bintang RTM 2023 dan personaliti RTM, Jeed Zulkefli.
Persembahan kali ini mengetengahkan lagu-lagu nostalgia sepanjang zaman dan lagu-lagu yang menaikan nama mereka dalam industri seni suara. Tirai konsert #INIBARUBINTANG 2 dibuka dengan persembahan oleh Syahz Mohamad dan Dewi Sariesta dengan nyanyian lagu “Chow Kit Road” dan “One Thousand Million Smile”.
Seterusnya dalam menggamit memori lagu-lagu malar segar, penonton dihidangkan dengan persembahan Najib Hanif yang lengguk suaranya seakan penyanyi Tom Jones. Penyanyi popular era 1980-an ini tampil dengan lagu medley Tom Jones bertajuk “Delilah” dan “She’s A Lady” juga lagu “Biar Bulan Berbicara”.
Selain itu, lagu Melayu Asli turut didendangkan bersama iringan pemuzik Orkestra RTM iaitu lagu “Joget Sayang Oh Sayang” dan “Lagu Zaman” dipersembahkan oleh Datuk Andre Goh dan Ezad Lazim.
Penyanyi Salamiah Hassan turut mendendangkan lagu “If You Go Away”, iaitu lagu yang pernah dipersembahkan ketika menjuarai program Bakat TV. Seterusnya beliau turut berduet bersama Misha Omar, Juara Bintang RTM tahun 2001 dengan lagu bertajuk “Menghitung Hari”.
Misha Omar kemudiannya meneruskan persembahan nyanyian medley lagu “Bunga-Bunga Cinta” dan “Dedebu Cinta”. Pentas terus dihangatkan dengan persembahan nyanyian dari Azharina menyampaikan lagu Rawan dan Ernie menerusi lagu Ku Bersuara.
Selain persembahan Dewi dan Eylia Guntabid, Aqasha kembali menghiburkan penonton dengan lagu berentak perlahan iaitu “Embun” juga medley “Rahsia Pohon Cemara” dan “Langkah Seiringan” oleh Ezad Lazim. Penonton turut sama menyanyikan lagu yang menaikkan nama penyanyi kesayangan mereka ini.
Segmen diteruskan dengan persembahan duet oleh Dewi dan Aqasha dengan nyanyian bertajuk “One Sweet Day”,serta gandingan Azharina, Ernie dan Eylia Guntabid menerusi lagu “The Power Of Love’ dan “I Will Always Love You’.
Tirai konsert diakhiri dengan persembahan rancak oleh kesemua penyanyi mengiringi persembahan Syahz dan Eylia Guntabid membawa lagu “Seribu Impian” sebagai lagu penutup persembahan.
Bagi yang terlepas untuk konsert ini, anda boleh saksikannya siaran bila-bila masa dan dimana sahaja menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my). Jangan lupa untuk memuat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
TAMAT