- Utama
- Pengguna
- Awam
- Siaran Media
- SIARAN MEDIA - KAU ABANG AKU
Siaran Media
SIARAN MEDIA - KAU ABANG AKU
DRAMA TAMIL, PENGARAH MELAYU, KEUNIKAN DALAM “KAU ABANG AKU”, KHAS DEEPAVALI INI TERBITAN RTM
Kuala Lumpur, 1 November – Unit Drama TV RTM (UDTV RTM) menerbitkan drama Tamil empat episod bertajuk “Neethan En Annan (Kau Abang Aku)”, khas sempena sambutan perayaan Deepavali yang bakal diraikan 12 November depan.
Bersiaran menemui penonton mulai 8 hingga 12 November ini, pukul 2.30 petang di TV2, pastinya cabaran yang bukan sedikit kepada pengarahnya Wan Afzam Wan Daud, salah seorang penerbit di UDTV RTM kerana menggunakan Bahasa Tamil sepenuhnya. Begitu juga daripada pemilihan pelakon yang kesemuanya berbangsa India.
Menjalani penggambaran di sekitar Cameron Highland, Pahang, galur cerita “Neethan En Annan” membawa mesej yang sangat jelas dimana hubungan adik beradik tidak akan putus walaupun berlaku persengketaan ibarat pepatah melayu “Air yang dicincang takkan putus”. Begitulah hubungan adik beradik yang sentiasa kekal hingga akhir hayat.
Mengangkat kisah kekeluargaan, plot ceritanya tentang suka dan duka hubungan dua adik beradik bernama Ramesh dan Rohit. Si adik, Ramesh seorang yang periang dan suka berangan. Ramesh yang hanya menjadi jurufoto sambilan kemudiannya bekerja di sebuah Villa milik abangnya, Rohit.
Biarpun sering tidak sefahaman, namun Ramesh akur bahawa abangnya lebih berjaya dalam kerjaya berbanding dirinya. Sebagai pekerja di Villa milik abangnya, Ramesh tetap bertahan dengan kata-kata abangnya yang kadangkala menyakitkan hati. Dia tidak mengetahui yang Villa milik abangnya itu mempunyai masalah.
Konflik bermula apabila Ramesh mula jatuh cinta pada seorang gadis bernama Kaasini, seorang penjual bunga. Tanpa disedari, Kaasini adalah kekasih abangnya. Dari situ, berlaku perselisihan faham antara dua adik beradik itu. Sikap iri hati, dengki dan pentingkan diri sendiri memakan diri abangnya. Ramesh cuba perbaiki keadaan dan membina semula hubungan dengan Rohit.
Ia menampilkan pelakon Daview Puvanan sebagai Ramesh, Thevaguru (Rohit), Hamsni Perumal (Kaasini) juga Devakanni, Sasikumar, Haridhass, Sasitharan K Rajoo, Shabby dan Khesshikah.
Usah ketinggalan menyaksikannya Deepavali ini menerusi saluran TV2 atau boleh menontonnya menerusi penstriman langsung RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my).
-TAMAT-