SIARAN MEDIA - RTM WARNAI DEEPAVALI 2023, JANJI SEMBILAN PROGRAM TERBAIK

 

RTM WARNAI DEEPAVALI 2023, JANJI SEMBILAN PROGRAM TERBAIK

                                                                 

Kuala Lumpur, 3 November – Tiga saluran TV utama milik Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV1, TV2 dan saluran Okey berkongsi kehangatan sambutan perayaan Deepavali yang disambut 12 November depan menerusi sembilan program terbaik merangkumi drama bersiri, muzikal, telemovie, dan bual bicara.

Menjelang sambutan Pesta Cahaya ini, saksikan telemovie kekeluargaan bertajuk “Kasih Nermala” di TV1 yang dibarisi pelakon terkenal tanah air. Menyusul kemudiannya tujuh program menambah seri dan keceriaan Deepavali di TV2 bermula dengan empat episod tayangan drama bersiri terbitan Unit Drama TV RTM bertajuk “Kau Abang Aku”; telemovie “Palaya TV”; bual bicara “Vasantham Khas Deepavali” dan “What Say You khas Deepavali”. Turut menghiburkan dua program muzikal iaitu “Pertandingan Akhir Bintang Minnal 2023” dan “Oli Veesum Deepavali”. Saluran sama diakhiri dengan tayangan cereka Tamil ‘Pushpa: The Rise”.  

Sementara itu saluran Okey pula menyiarkan telefilem bertajuk “Ennaval”, bermaksud ‘Dia Milikku’, kisah penyiasatan merungkai misteri kematian seorang lelaki yang cintanya tidak berbalas. Berikut disertakan tajuk dan tarikh siaran program berikut:-

 

“KASIH NERMALA” I 11 November I 2.00 petang I TV1

Kisah Nermala yang menjalani liku kehidupan sebagai kakak sulung yang menyara adik-adiknya Devan, Sara dan Sudha setelah kematian ibunya akibat kemalangan jalan raya. Nermala berkawan baik dengan Wati. Wati dan ibunya cuba membantu Nermala. Nermala dan adik-adiknya kemudian telah diambil tinggal bersama-sama dengan pak ciknya di Kuala Lumpur. Namun ibu saudara mereka tidak menyukainya lalu mereka dihalau semula tinggal di kampung. Demi membesarkan adik-adiknya Nermala berkorban menjual nasi lemak dan putu mayam dengan bantuan Wati dan ibunya. Pelakon: Kenchana Devi, Eagaivalli, Ku Fridah, Hanumethan, Gobbinath dan Shakilla Koriri.

KAU ABANG AKU I mulai 8 November I 2.30 petang I TV2

Ramesh adalah seorang jurufoto sambilan yang bersifat periang. Tanpa pekerjaan tetap, Ramesh tinggal bersama abangnya Rohit. Biarpun sering tidak sefahaman, namun Ramesh akur yang abangnya lebih berjaya dan berkerjaya dari dirinya. Sebagai pekerja di Villa milik abangnya, Ramesh tetap bertahan dengan kata-kata abanganya yang kadangkala menyakitkan hatinya. Kehidupan Ramesh berubah selepas dia mula jatuh hati kepada seorang penjual bunga bernama Kaasini. Ramesh mula jatuh cinta dengan Kaasini dan cuba mendekati Kaasini. Tanpa dia sedar yang Kaasini adalah kekasih abangnya.Hubungan dua beradik ini mula menjauh bila Kaasini mengakui pada Ramesh yang dia mencintai Rohit. Akhirnya Ramesh tersedar perbuatannya salah. Pelakon: Neethan En Annanramesh, Daview Puvananrohit, Thevagurukaasini, dan Hamsni Perumalmaduri.

PALAYA TV I 13 November I 9.00 malam I TV2

Cerita ini akan merungkai semula kehidupan semasa tahun 90’an. Mahadevan seorang pekerja estet, mempunyai 4 orang anak. Keluarganya tidak memiliki TV. Mahadevan bekerja keras dan akhirnya berjaya membeli TV sendiri. Anak sulungnya Kuben yang berumur 8 tahun pula Berjaya mempelajari cara-cara untuk mengeoperasikan TV tanpa pengetahuan bapanya. TV tersebut mengalami beberapa masalah teknikal. Ketika perayaan Deepavali hampir tiba, Kuben dan adik-adiknya menonton TV ketika ayahnya keluar untuk bekerja. Masalah antenna berulang dan Kuben cuba untuk memperbetulkan masalah tersebut. Tanpa disangka, TV tersebut telah rosak dan tidak dapat beroperasi semula. Kuben dan adik-adiknya mula takut dan mereka cuba mencipta satu pembohongan bahawa TV tersebut rosak akibat dipanah petir. Kuben merancang untuk menghalang ayanya menonton TV. Mengatakan ada hantu dalam tv dan sebagainya. Tetapi Mahadevan mendapat tahu TV tersebut telah rosak. Mahadevan memaafkan anaknya dan mereka menyambut Deepavali tanpa TV

di rumah. Pelakon Tinesh Sarathi, Aahmu Thiru, Vasanth, Yubashana, dan Thaarwinesh.

VASANTHAM KHAS DEEPAVALI I 11 November I 3.00 petang I TV2

Program bual bicara secara langsung dengan topik yang menarik sempena Perayaan Deepavali 2023.

 

WHAT SAY YOU KHAS DEEPAVALI I 12 November I 3.00 petang I TV2

Program bual bicara secara langsung dalam bahasa Mandarin dengan topik yang menarik sempena Perayaan Deepavali 2023.

 

PERTANDINGAN AKHIR BINTANG MINNAL 2023 I 12 November I 4.00 petang I TV2

Pertandingan Akhir Bintang Minnal 2023 menampilkan enam (6) peserta iaitu Jeevaa Jayagopal, Raajasree Gobi, Swetha Nair A/P Krishnakumar, Shuruti A/P Kesavan, Barath Nair dan Nimalaan Gangkathran. Mereka menonjolkan bakat nyanyian di Pentas Akhir Bintang MINNAL 2023 yang dihoskan oleh Ravin, Theyv dan Buvana dengan diiringi Kiravani Live Music Band. Persembahan selingan menampilkan Johan Bintang Minnal 2020 iaitu Piraveen serta penyanyi terkenal tanah air, Dharshaini.

 

OLI VEESUM DEEPAVALI I 12 November I 9.00 malam I TV2

Konsert khas menampilkan persembahan lagu–lagu Tamil dan Hindustan serta tarian klasik dan moden. Penampilan artis lama dan baru memeriahkan konsert ini dengan nyanyian dan tarian yang berwarna warni. Turut dimeriahkan dengan gandingan pengacara yang berbakat Theyvekgan dan Ashwinniie. Artis: Santesh, Dharshaini, Roshini, Zubir Khan, Arunboii, Siddarth, dan Balan Kash.

PUSHPA: THE RISE I 12 November I 10.30 malam I TV2

Kisah mengenai seorang buruh bernama Pushpa yang terlibat dalam sindiket penyeludupan kayu cendana merah. Dia sering dikecewakan oleh abang tirinya kerana menjadi anak luar nikah kepada bapa mereka. Pushpa mendapat peluang untuk bekerja di hutan tebal kayu cendana merah di mana kayu cendana merah diseludup ke negara lain dan beliau berjaya menyelamatkan penyeludupan kayu cendana bernilai jutaan di bawah pengawasan DSP yang dikenali dengan Reddy Brothers. Pushpa berjaya menyeludup kayu cendana merah dengan muslihatnya menipu DSP, pasukannya dan berhubung rapat dengan Konda Reddy. Pushpa mengubah gaya hidupnya dan memutuskan untuk berkahwin dengan Srivelli tetapi abang tirinya mendedahkan hubungan ibunya dengan bapa mereka sehingga terbatalnya perkahwinan tersebut. Pushpa seterusnya mengukuhkan kedudukannya dalam sindiket penyeludupan kayu cendana. Namun, Pushpa terpaksa menentang Shekawat seorang anggota polis dan mula berdendam. Pelakon: Allu Arjun, Fahadh Fasil, Rashmika Mandana, Jagadeesh Prathap, Sunil, dan Rao Ramesh.

 

ENNAVAL I 12 November I 2.30 petang I OKEY 

Mengisahkan pasangan muda Barathi dan Deva yang jatuh cinta dan berkahwin. Kehidupan mereka bertukar arah setelah kepulangan Arjun, bekas kekasih Barathi ketika zaman kolejnya di Sydney, Australia. Arjun mendesak Barathi untuk bertemu akhirnya meninggal dunia dikatakan telah bunuh diri setelah Barathi tidak mahu menerimanya semula. Pelakon: C.Kumerasan, Sangeeta Krishnasamy, Vasanth Sarna, Yashini Devi dan Suresh.

-TAMAT-


Cetak   Emel

Radio Televisyen Malaysia
Angkasapuri Kota Media
50614 Kuala Lumpur

aduan [at] rtm.gov.my
Tel: 03 - 2282 5333
Faks: 03 - 2284 7591

apps
googleplay bm
huawei bm

  • Kemaskini Terakhir : 29 November 2023.

Jumlah Pengunjung : 46184543

Peralatan Web