SIARAN MEDIA - “KL BIG GIG”

 

KONSERT “KL BIG GIG” 2023, ULANGTAHUN KE-50 KLfm MERIAH

 

Kuala Lumpur, 7 November – Penghargaan terus diberikan kepada seluruh pendengar setia stesen radio yang dekat di hati rakyat Malaysia terutama dalam kalangan warga kota, Radio KLfm. Dalam kemeraikan sambutan ulang tahun ke-50 pada 5 November lalu, KLfm menganjurkan Konsert KL Big Gig 2023 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Meskipun cuaca tidak menentu dengan keadaan hujan renyai membasahi kawasan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, namun itu tidak mematahkan semangat peminat terus memberikan sokongan kepada barisan artis yang membuat persembahan. Sambutan yang diberikan nyata membuktikan stesen radio milik RTM ini yang bersiaran selama 50 tahun terus kekal relevan menemani seluruh warga kota Kuala Lumpur dengan slogan ‘Rentak Interaktif Kota’.  

Bersiaran secara langsung pukul 9.00 malam menerusi saluran Okey, radio KLfm dan RTMKlik, konsert dua jam ini menampilkan persembahan hebat artis terkenal tanah air termasuklah Dato’ Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah, Dato’ DJ Dave, Black Hanifah. Azlan The Typewriter, Hael Husaini, Akim & The Majistret, Ruffedge, Sissy Iman, Minder Singh, Roger dan Kajol Zuraidah.

KL Big Gig 2023 menampilkan enam segmen iaitu Neon Neon Kuala Lumpur; kompilasi lagu-lagu berkaitan ibu kota Kuala Lumpur. Penonton yang hadir seawal persembahan pembuka tirai bersama-sama menyanyikan lagu medley “Radio KL” iaitu ‘Radio Malaysia’ (Sejak Dulu), ‘Chow Kit Road’, ‘Senja Di Kuala Lumpur’, ‘Kuala Lumpur Kotarayaku’ dan ‘Senyumlah Kuala Lumpur’. Gabungan artis Black Hanifah dan Azlan & The Typewriter penuh bertenaga bergabung mempersembahkan lagu ini.

Diikuti segmen Hits menampilkan persembahan lagu rancak ‘Kelantang Kelentung’ oleh penyanyi asal Negeri Sembilan, Hael Husaini. Penonton kemudiannya dihiburkan dengan lagu ‘Assalamualaikum’ nyanyian asal Faizal Tahir yang disampaikan oleh Sissy Iman. Sissy turut mendendangkan lagu barunya bertajuk ‘Berhentilah’.

Kemunculan Kumpulan Ruffedge nyata berjaya mengubat hati peminat yang merindukan persembahan tiap anggotanya termasuklah Azan Addin, Mode, Cat Farish, Sein dan Zain. Mereka menghiburkan dengan dua lagu berhantu mereka iaitu ‘Bila Rindu’ dan ‘Khayalan’.  

Sempena sambutan Deepavali pada 12 November depan, konsert ini menghadiahkan segmen Bollywood yang menggambungkan artis terkenal Dato’ DJ Dave juga barisan artis seperti Minder Singh, Kajol Zuraidah, dan Roger. Penonton yng hadir terhibur dengan seleksi lagu ‘Mere Mann Ki Gangga Aur Tere Mann’, ‘Kuch Kuch Hota Hai’, ‘Main Shayar To Nahi’ dan ‘Maafkanlah’.   

Suasana konsert dipanaskan dengan persembahan segmen Rock Alternative oleh Akim & The Majistret yang mempersembahkan lagu-lagu yang dinantikan peminat setia mereka seperti ‘Obses’, ‘Saksama’, medley ‘Potret’ dan ‘Mewangi’ juga ‘Rampas’.

Menyusul segmen Top Chart pula mengetengahkan Hael Husaini menghiburkan dengan seleksi lagu popularnya termasuklah ‘Jampi’ dan ‘Sama Seperti Dulu’. Seterusnya mengambil tempat di pentas Black Hanifah menyanyikan lagu ‘Sofea Jane’ dan diakhiri lagu ‘Jangan Khianati Aku’ oleh Azlan The Typewriter.

Segmen akhir The Everygreen menampilkan kemunculan penyanyi kesayangan ramai, Dayang Nurfaizah menghiburkan dengan lagu ‘Sejak Ku Bertemu Padamu’ dan ‘Umpan Jinak di Air Tenang’. Ditutup penyanyi legenda, Datuk Zainal Abidin dengan momen terindah bersama penonton yang hadir menerusi persembahan istimewa lagu ‘Manis’ dan ‘Ikhlas Tapi Jauh’.

Sebagai simbolik ulangtahun ke-50, persembahan artis diiringi gabungan 50 pemuzik Orkestra RTM dan Orkestra DBKL di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Encik Luqman Aziz dari RTM dan Encik Mohd Isa Ismail dari DBKL.

Konsert KL Big Gig 2023 merupakan kerjasama KLfm dengan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (JKKPS DBKL).

Turut berlangsung sesi pemotongan kek momento sempena Jubli Emas KLfm oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman kepada Pengurus KLfm, Norliza Nordin. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pembangunan sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin.

Konsert ini juga berkonsepkan berhibur sambil menderma kepada tabung akaun amanah rakyat Palestin di bawah Kementerian Luar Negeri.

-TAMAT-


Cetak   Emel

Radio Televisyen Malaysia
Angkasapuri Kota Media
50614 Kuala Lumpur

aduan [at] rtm.gov.my
Tel: 03 - 2282 5333
Faks: 03 - 2284 7591

apps
googleplay bm
huawei bm

  • Kemaskini Terakhir : 29 November 2023.

Jumlah Pengunjung : 46184646

Peralatan Web