- Utama
- Pengguna
- Awam
- Siaran Media
- SIARAN MEDIA - “KESUMA JIWA” DIPILIH TEMA HMI
Siaran Media
SIARAN MEDIA - “KESUMA JIWA” DIPILIH TEMA HMI
“KESUMA JIWA” DIPILIH TEMA HMI DI ANGKASAPURI, SABTU INI
KUALA LUMPUR, 9 November 2023 – Irama lagu-lagu klasik menggamit kenangan bakal berkumandang menghiburkan penonton pada 11 November 2023, Sabtu ini, pukul 9.00 malam dalam sebuah persembahan indah dijanjikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi program Hiburan Minggu Ini (HMI).
Menyatukan artis terkenal dan berpengalaman dalam satu pentas sama bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kota Media, saksikan program hiburan santai terbitan Unit Hiburan TV RTM yang kali ini mengangkat pula tema ‘Kesuma Jiwa’, himpunan lagu-lagu malar segar sepanjang zaman.
Bersiaran secara langsung menerusi saluran TV2 dan penstriman langsung di RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my), artis popular yang bakal membuat persembahan termasuklah Datuk Andre Goh, Datuk Yusni Hamid, Bob Yusof, Hael Husaini, dan Asmidar. Turut membuat persembahan dua juara Bintang Klasik iaitu Hisyam Rahim, tahun 2023 dan Shazreen, juara tahun 2019.
Namun sesuatu yang Istimewa dan paling dinantikan pastinya segmen ‘Tribute To P.Ramlee’ yang mengimbau lagu-lagu nostalgia dinyanyikan kembali oleh artis terkenal tanah air.
Keseluruhannya 15 buah lagu bakal dipersembahan dalam program ini. Antaranya termasuklah lagu ‘Bulan Di Ditutup Awan’, ‘Memikat Hati’, ‘Sejakku Bertemu Padamu’, ‘Gurindam Jiwa’, ‘Menanti Di Ambang Syurga’, ‘Tak Seindah Wajah’, ‘Fatwa Pujangga’, ‘Malam Membawa Kenangan’, ‘Mengapa Dirindu’, ‘Nak Dara Rindu’, ‘Gelora Jiwa’, ‘Dari Hati Ke Hati’ dan ‘Kau Yang Ku Nanti’.
HMI: Kesuma Jiwa menggandingkan hos Raja Azura dan Joey Daud sepanjang dua jam berlangsungnya persembahan.
Justeru RTM menarik perhatian orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan program ini bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kota Media. Masuk adalah percuma.
TAMAT